skljb.zoom-a.com
[schoolname]
[address] Tel : [tel], Faks : [fax]
e-mel : skljb@zoom-a.com
| LAMAN UTAMA | KATA ALU-ALUAN | SEJARAH | FALSAFAH PENDIDIKAN | STAF AKADEMIK | STAF SOKONGAN | PIBG | KEPUTUSAN UPSR | AKTIVITI | PAUTAN | BUKU PELAWAT | PERASMIAN | BERITA TERKINI | DOA SEKOLAH | ENROLMEN PELAJAR | FALSAFAH SEKOLAH | Untitled | Untitled | KOKURIKULUM | KURIKULUM | LAGU SEKOLAH | LOGO SEKOLAH | PANORAMA | VISI & MISI | Untitled |

SEJARAH SEKOLAH



Pandangan Sekolah dari atasMenara Kebanggaan

Sekolah ini pada permulaannya adalah sebahagian daripada Sekolah Menengah Victoria di Jalan Bandar (High Street). Apabila bangunan Sekolah Menengah Victoria yang baru siap dibina dalam tahun 1929, murid-murid Sekolah Victoria lama itu dibahagi dua. Murid-murid sekolah rendah terus belajar di bangunan lama dan murid-murid darjah enam ke atas berpindah ke bangunan barunya di Jalan Shaw (Jalan Hang Tuah). Guru Besar sekolah rendah pada waktu itu ialah Encik R.F. Gunn.

Pada masa yang sama, sebuah bangunan sekolah rendah yang baru telah didirikan di Jalan Broadrick di atas sebidang tanah yang dibeli daripada mendiang Encik Thamboosamy Pillai. Bangunan sekolah rendah tersebut siap dibina dalam tahun 1930. Dalam bulan September 1930 semua kelas  rendah dari bangunan Sekolah Victoria lama berpindah ke bangunan baru yang dinamakan BATU ROAD SCHOOL (BRS).

Kelas-kelas yang telah diwujudkan di bangunan baru tersebut ialah darjah satu hingga darjah lima. Guru Besar yang pertama ialah Encik M. Wheatley, seorang guru kanan dari Sekolah Victoria. Jumlah murid ketika itu adalah seramai 600 orang yang terdiri dari murid-murid laki-laki sahaja. Semenjak sekolah ini dibuka, ia menjadi salah satu daripada sekolah yang terkemuka dan telah berjaya melahirkan pelajar terbaik yang kemudiannya terpilih untuk belajar ke Sekolah Menengah Victoria. Memandangkan prestasi sekolah yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, kokurikulum dan sukan, sekolah ini menjadi idaman setiap ibubapa dan mereka berharap agar anak-anak  mereka dapat belajar

Semasa Encik M. Wheatley menjadi Guru Besar, sekolah ini berkembang dan tersohor. Dalam tahun 1939, atas masalah kesihatan, Encik M. Wheatley bersara daripada jawatan Guru Besar. Tempat beliau telah digantikan oleh  Encik F.C. Barraclough. Encik F.C. Barraclough hanya menjalankan tugas sebagai Guru Besar selama satu tahun sahaja. Antara tahun 1930 hingga 1939 dua orang Guru Besar telah memegang jawatan ini. Mereka ialah Encik H.R. Carey yang telah berkhidmat dalam tahun 1935 dan Encik T.P.M. Lewis dalam tahun 1937.

Anak Tempatan Menjawat Jawatan Guru Besar.

Pada penghujung tahun 1939 seorang anak tempatan, buat pertama kalinya mengambil alih pentadbiran sekolah ini dari Encik F.C. Barraclough. Beliau ialah Encik T.R. Abraham. Semasa beliau memegang jawatan sebagai pentadbir sekolah, perang dunia kedua meletus di Eropah dan merebak ke tempat-tempat lain termasuk Malaya. Dalam tahun 1941 bangunan sekolah ini  telah diduduki oleh tentera British dan murid-murid sekolah ini diperintahkan belajar di tempat lain. Dalam masa huru-hara tersebut, sebahagian murid-murid, telah berpindah ke Sekolah Victoria. Kemudian dipindahkan pula ke Sekolah Jalan Pasar dan juga ke Sekolah Perempuan Methodist. Murid-murid kembali belajar di sekolah ini pada sebelah petang sahaja.



Perang Dunia Kedua.

Setelah tentera Jepun berjaya menawan Malaya, bangunan sekolah ini telah dijadikan kem tentera Jepun. Padang sekolah yang dahulunya hijau telah bertukar rupa menjadi kebun sayur dan perkampungan tentera Jepun. Keadaan bangunan menjadi rosak, banyak harta benda seperti perkakas dan rekod pentadbiran sekolah telah musnah dan hilang. 

Setelah tentera Jepun menyerah kalah dalam tahun 1945, sekolah ini dibuka semula dan Encik T.R. Abraham menyambung tugasnya sebagai Guru Besar yang mana kali ini tugasnya amatlah berat. Beliau berusaha untuk memulih dan   membaiki keadaan sekolah ini serta mengumpulkan murid-murid yang terhenti belajar supaya dapat menyambung persekolahan mereka semula. Seramai 900 orang murid telah diterima masuk untuk meyambung pelajaran mereka. Bagi menempatkan murid-murid ini, sebuah bangunan sementara telah didirikan.

Tahun demi tahun, jumlah murid-murid sekolah ini meningkat. Dalam tahun 1945 murid-murid di sekolah ini meningkat dari 900 orang menjadi 1,500 orang. Dalam tahun 1954 pula murid-murid di sekolah ini berjumlah 2,000 orang. Oleh kerana pertambahan murid-murid begitu pesat, sekolah ini terpaksa dijalankan pada dua sesi  iaitu sesi pagi dan petang.

Atas daya usaha Encik T.R. Abraham dan kakitangan sekolah, pembangunan sekolah ini semakin meningkat dari sehari ke sehari. Sebagai mengenang jasa,  maka beliau telah dikurniakan pingat MBE dalam tahun 1951. Setelah itu beliau bersara pada tahun yang sama. Tugas beliau telah digantikan oleh Encik T. Magasu.

Sekolah ini terus berkembang dan terus maju dalam semua bidang. Untuk menampung pertambahan murid,  satu lagi bangunan baru dengan enam bilik darjah di bina dalam tahun 1952. Walaupun begitu keadaan tetap sesak memandangkan jumlah murid terlalu  ramai. Akhirnya pada tahun 1954, murid-murid darjah lima dan enam serta beberapa guru-guru telah di pindahkan ke Sekolah Menengah Jalan Maxwell.

Dua Buah Sekolah.

Pada tahun 1955 jumlah murid-murid di sekolah ini bertambah besar hingga berjumlah 2,300 orang. Disebabkan bilangan  murid yang begitu besar dan untuk melicinkan pentadbiran, satu keputusan telah di buat untuk membahagikan sekolah ini kepada dua buah sekolah iaitu sekolah satu dan sekolah dua.

Encik T. Magasu dikekalkan sebagai Guru Besar sekolah satu dan Encik Hoh Chup Mee telah ditugaskan untuk mentadbir sekolah dua bermula di sebelah petang. Mulai tahun 1957 , kedua-dua buah sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Rendah Kebangsaan Laki-laki Jalan Batu (1) dan Sekolah Rendah Kebangsaan Laki-laki Jalan Batu (2), Jalan Broadrick, Off Jalan Batu, Kuala Lumpur.

Sekali lagi seorang Guru Besar dari sekolah (satu) telah dikurniakan pingat MBE kerana khidmat cemerlangnya. Beliau ialah Encik T. Magasu. Belaiu bersara pada bulan Januari, 1957. Encik A.L Foenander menggantikan tempat Encik T.Magasu.

Pada tahun 1968 sebuah darjah khas bagi kanak-kanak cacat penglihatan telah dibuka di sekolah ini. Ini adalah satu-satunya kelas khas bagi kanak-kanak yang cacat penglihatannya di peringkat sekolah rendah yang terdapat di bandar Kuala Lumpur. Setakat ini terdapat seramai 35 orang murid yang belajar di darjah khas ini. Sejak ditubuhkan sembilan orang guru telah berkhidmat di darjah khas ini.

Merosot Ditelan Arus Pembangunan

Mulai tahun 1976 bilangan murid di kedua-dua sekolah ini telah mula merosot. Ini disebabkan kedudukannya yang terletak di tengah-tengah arus pembangunan Kuala Lumpur yang begitu pesat, disekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut. Lebih-lebih lagi dengan terbinanya dua batang jalan utama keluar masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur iaitu Jalan Raja Laut dan Jalan Sultan Ismail. Pembinaan jalan-jalan ini telah menjejaskan keadaan fizikal sekolah ini khasnya serta kawasan sekitarnya.

Bangunan mengandungi enam bilik darjah telah diruntuhkan bagi memberi jalan untuk pembinaan Jalan Sultan Ismail. Rumah-rumah sekitar kawasan ini juga telah dirobohkan. Bahkan rumah pangsa Sultan Sulaiman juga dirobohkan. Keadaan ini telah menjejaskan bilangan murid-murid sekolah ini yang mana penghuni-penghuni sekitarnya telah pun berpindah ke kawasan perumahan yang lain. Kemerosotan murid-murid ketika ini amatlah dirasakan. Selain dan itu keadaan yang sibuk dengan kenderaan dan lalu-lintas yang sesak juga menyebabkan ibubapa keberatan menghantar anak-anak mereka bersekolah di sekolah ini. Walau bagaimanapun sekolah ini dapat juga mengekalkan kedudukannya dengan imejnya yang tersendiri. Perkembangannya yang baik di masa yang lampau itu membuatkan masih ramai ibubapa yang berikhtiar menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah ini.

Semenjak sekolah ini didirikan, banyak  kesan sejarah yang boleh dirakamkan telah berlaku di sekolah ini. Penempatan tentera British dan  tentera Jepun dalam masa Perang Dunia Kedua, misalnya. Dalam bidang akademik, pelajar-pelajar dari sekolah ini biasanya akan diberi keutamaan memasuki sekolah menengah terkemuka di Kuala Lumpur seperti Sekolah Menengah Victoria. Ramai bekas pelajar dari Sekolah Rendah Laki-laki Jalan Batu (Satu) ini berjaya dalam bidang kerjaya mereka. Ketika ini ramai yang memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.

 

Bekas pelajar yang berjaya.

Di antara ramai bekas pelajar yang berjaya dalam kerjaya mereka ialah

Tan Sri Chong Hon Yan, bekas Menteri Pengangkutan

Tan Sri Ismail bin Mohd Ali, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia

Tan Sri Yaacob bin Latiff, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur

Dato' K. Thanabalasinggam, bekas Ketua Turus Tentera Laut DiRaja Malaysia

Mendiang Dato' Alexander Lee, bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat,

Encik Sulaiman bin Osman bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

Drs. Sulaiman bin Mohamad, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga Ahli Perlimen Titiwangsa

dan beberapa orang lagi yang terpenting di negara ini yang dididik dari sekolah ini, menjadi orang yang berjaya.

 

Bidang Kokurikulum.

Dalam bidang sukan pula sekolah ini memang terkenal dengan kehandalannya dalam semua bidang permainan terutama sekali permainan bola sepak. Dalam tahun 70'an sekolah ini sentiasa sahaja menjadi johan bolasepak antara sekolah-sekolah negeri Selangor mewakili Wilayah Persekutuan. Sekolah ini selalu diberi tanggungjawab menganjurkan kejohanan olahraga dan bolasepak anjuran MSSS/MSSWP dan juga kejohanan renang MSSS. Dalam tahun 1973 pasukan Rugby sekolah ini di bawah umur 12 tahun telah menjadi johan antara sekolah-sekolah di Selangor dan juga memenangi peringkat kebangsaan dengan mengalahkan sekolah Khir Johari, Sungai Sumun dengan 4-0.

Bangunan kantin sekolah
Bangunan perpustakaan sekolah



Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: